Sistem Pengurusan Pentaksiran Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Web

Jumaat, 10 Jun 2011

Pentaksiran Berasaskan Web

Pentaksiran berasaskan web merupakan satu istilah umum yang merangkumi penggunaan komputer dan Internet dalam proses pentaksiran. Istilah pentaksiran berasaskan web ini adalah meluas, merangkumi pelbagai kegiatan yang mana teknologi digital digunakan dalam semua kegiatan-kegiatan meliputi perancangan dan penghantaran pentaksiran, penandaan oleh komputer dan alat-alat atas talian, dan semua proses pelaporan, penyimpanan dan pemindahan data yang berkaitan dengan pentaksiran di peringkat sekolah. JISC/QCA (2007) mendefinisikan pentaksiran berasaskan web ini sebagai proses pentaksiran secara elektronik yang mana Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) telah digunakan untuk persembahan aktiviti pentaksiran dan mendapatkan maklum balas. Menurut mereka lagi, kaedah pentaksiran berasaskan web ini adalah berbeza dengan pentaksiran berasaskan komputer (CBA) yang merujuk kepada pentaksiran dilaksanakan dan ditandakan dengan komputer, dan pentaksiran berbantukan komputer (CAA) adalah merujuk kepada amalan yang bergantung kepada penggunaan komputer: contohnya, penggunaan atas talian bagi tujuan forum perbincangan, maklum balas kerja kumpulan, penyelesaian dan penyerahan tugasan secara elekronik, atau e-portfolio. Sehubungan ini sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan mencadangkan supaya penggunaan teknologi diperluaskan dalam sistem pentaksiran berasaskan sekolah (Marzita Abdullah, 2009).

Pentaksiran merupakan pusat kepada pengajaran dan pembelajaran. Ia mengukur sejauh mana keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran murid. Amalan pengurusan pentaksiran sesebuah sekolah itu mempengaruhi penglibatan murid dalam proses pembelajaran. Oleh itu sekolah harus mendapatkan strategi pentaksiran yang baik bagi memastikan semua pembelajaran murid dapat ditaksir dengan sebaik-baiknya. Pentaksiran berasaskan web ini berpotensi mengembangkan pemahaman murid terhadap pembelajaran guru dan merupakan satu kaedah latihan yang berkesan. Pentaksiran berasaskan web adalah cara terbaik bagi mengenalpasti keperluan murid dan dapat menanamkan keinginan untuk maju jika guru berupaya mengaitkan murid kepada sumber rujukan yang baik dan tepat serta memberikan maklum balas serta merta. Penggunaan teknologi yang mantap, dapat menyumbang kepada pentaksiran yang berkesan (JISC/QCA, 2007). Antara kebaikan penggunaan teknologi ini adalah penjimatan masa, memudahkan menanda dan penjimatan ruang penyimpanan. Dengan menggunakan komputer, guru akan mempunyai lebih masa untuk proses pengajaran dan pembelajaran (Fabilah Baharom dan Zaidatun Tahir, 2005).

Pentaksiran berasaskan web ini lebih bersifat peribadi. Murid boleh melaksanakan pentaksiran ini pada bila-bila masa di mana sahaja mengikut kesesuaian masa murid itu sendiri. Bull (1999) telah mendapati bahawa murid lebih menyukai pentaksiran menggunakan komputer kerana dapat memberi maklum balas serta membuat analisis statistik dengan cepat dan tepat berikutan dari penandaan secara automatik. Penggunaan teknologi maklumat dan pembelajaran berasaskan web dapat membantu ke arah pentaksiran pengajaran dan pembelajaran yang lebih cekap dan berkesan (Bennett, 2000). Menurut Vendlinski dan Stevens (2002) pula, teknologi menawarkan kaedah pengukuran baru bagi mentaksir pembelajaran yang berupaya memberikan maklum balas serta merta prestasi pencapaian murid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan