Sistem Pengurusan Pentaksiran Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Web

ICT DALAM PENDIDIKAN

PENGENALAN
Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dikenal pasti sebagai salah satu faktor penting yang membantu pencapaian matlamat Pembangunan Pendidikan 2001–2010. Kepesatan kemajuan ICT menjadi cabaran kepada negara untuk menyediakan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran ICT. Bagi menerajui usaha menyediakan sumber tenaga manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyediakan keperluan fizikal dan bukan fizikal untuk membolehkan penggunaan ICT sebagai alat pengupaya (enabling tool) pada semua peringkat organisasi pendidikan. Penggunaan ICT juga berpotensi membawa perubahan dan pembaharuan kepada sistem pendidikan ke arah memartabatkan pendidikan negara pada peringkat antarabangsa.

ICT adalah sistem yang membolehkan pengumpulan, pengurusan, manipulasi, perolehan, dan komunikasi maklumat dalam pelbagai bentuk. ICT dalam pendidikan bermaksud penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan, pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta pendidikan sepanjang hayat. Penggunaan ICT dalam P&P membolehkan aktiviti P&P dijalankan tanpa kekangan tempat dan masa, meningkatkan penggunaan sumber pendidikan, dan  berupaya meningkatkan kualiti pendidikan di samping mempercepat proses pendidikan berdasarkan kadar kebolehan pelajar.

KPM telah menggariskan tiga dasar utama ICT dalam pendidikan.
  • Dasar pertama adalah literasi ICT untuk semua pelajar, bermaksud pelajar memperoleh kemahiran menggunakan kemudahan ICT.
  • Dasar kedua mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai kurikulum dan alat P&P. ICT sebagai kurikulum bermaksud pelajar mempelajari ICT sebagai mata pelajaran seperti mata pelajaran Teknologi Maklumat bagi peringkat SPM dan mata pelajaran Pengkomputeran bagi peringkat STPM. ICT sebagai alat P&P bermaksud menggunakan kemudahan ICT dalam P&P seperti penggunaan perisian kursus (courseware), internet, dan aplikasi generik yang lain (contohnya, perisian CAD dalam mata pelajaran Reka Cipta dan Lukisan Kejuruteraan).
  • Dasar ketiga menekankan penggunaan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan, dan keberkesanan sistem pengurusan. Ini terhasil daripada pengautomasian pejabat dan pelaksanaan sistem aplikasi pengurusan yang membawa kepada penambahbaikan proses kerja.

MATLAMAT PEMBANGUNAN ICT DALAM PENDIDIKAN 2001-2010
Pembangunan ICT dalam pendidikan bagi 10 tahun akan datang bermatlamat untuk:
  • meningkatkan pembangunan infrastruktur ICT;
  • memperluas akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT;
  • memperluas kurikulum berasaskan ICT;
  • meningkatkan sistem pentaksiran dengan menggunakan ICT; 
  • menekankan pengintegrasian ICT dalam P&P;
  • meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT di kalangan pelajar, tenaga pengajar, dan personel KPM;
  • meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan;
  • meningkatkan usaha pengurusan dan penyenggaraan perkakasan ICT;
  • meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam ICT; dan
  • meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat dalam
  • membantu memperkembangkan ICT dalam pendidikan.


STATUS SEMASA

Pembangunan Infrastruktur ICT
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah membekalkan peralatan pendidikan berasaskan teknologi seperti radio, televisyen, overhead projector ke sekolah bagi tujuan membantu proses P&P. KPM juga menyediakan rancangan pendidikan untuk disiarkan ke sekolah rendah dan menengah melalui Radio dan TV Pendidikan. Bermula pada tahun 2000, penyiaran rancangan pendidikan melalui TV telah dipertingkatkan dan diperluas ke sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman dengan menggunakan teknologi satelit.

Pada awal tahun 1990-an, KPM telah melaksanakan beberapa projek pendidikan yang berasaskan ICT dan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama dalam penyediaan infrastruktur ICT. Pada tahun 1992, sebanyak 60 buah sekolah menengah luar bandar telah dibekalkan dengan 20 set komputer untuk pelajar dan satu set komputer untuk guru bagi setiap buah sekolah. 

Pada tahun 1994, KPM telah melancarkan Projek Rintis Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik di 15 buah sekolah rendah luar bandar di negeri Selangor. Setiap sekolah dibekalkan dengan 21 set komputer dan perisian kursus pendidikan yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Pada tahun 1996, penyediaan infrastruktur ICT diperluas kepada 209 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah. Sekolah-sekolah menengah ini dibekalkan dengan 20 set komputer dengan satu pelayan (server) untuk Persekitaran Rangkaian Setempat (Local Area Network-LAN) tanpa kemudahan internet sementara di sekolah rendah komputer yang dibekalkan tidak dirangkaikan. Antara tahun 1999 hingga 2000, sebanyak 222 buah sekolah rendah dan 110 buah sekolah menengah di seluruh negara telah dibekalkan sebanyak 10 set komputer bagi setiap buah sekolah.

Dalam memperkenalkan komputer sebagai alat dalam proses P&P bagi program Komputer Dalam Pendidikan (KDP), komputer yang dibekalkan ke sekolah rendah dan menengah pada peringkat awal pelaksanaan adalah di bawah peruntukan projek-projek khas. Bagi tempoh masa 1999 hingga 2000, komputer yang dibekalkan adalah komputer multimedia jenis Pentium III yang disewa daripada MIMOS atau melalui tender terbuka untuk Sabah dan Sarawak. Komputer tersebut ditempatkan di bilik darjah yang diubah suai menjadi makmal komputer.

Pada tahun 2000, Projek Penyediaan Infrastruktur Fizikal dan Pengkomputeran Sekolah Rendah dan Menengah (Projek Pengkomputeran) diperkenalkan di 2418 buah sekolah rendah dan menengah secara berperingkat-peringkat dengan mendahulukan sekolah yang mempunyai enrolmen melebihi 150 dan mempunyai bekalan elektrik. Makmal komputer dilengkapi dengan komputer terkini berserta kemudahan LAN dan internet. Sekolah-sekolah ini dibekalkan perkakasan komputer mengikut kriteria yang ditetapkan seperti berikut:
  • enrolmen kurang 400 mendapat 10 komputer, 1 makmal komputer, dan 1 server;
  • enrolmen 400-800 mendapat 20 komputer, 1 makmal komputer, 1 server, dan 1 projektor LCD; dan
  • enrolmen melebihi 800 mendapat 40 komputer, 2 makmal komputer, 2 server, dan 1 projektor LCD.

Sehingga akhir tahun 2000, sebanyak 18 buah sekolah (12 buah sekolah rendah dan 6 buah sekolah menengah) telah dilengkapi dengan peralatan ICT.

Projek-projek ICT dalam pendidikan yang telah dilaksanakan adalah pemangkin kepada usaha ke arah e-pembelajaran. Selain menambah sumber tenaga manusia terlatih, projekprojek ini juga dapat meningkatkan penggunaan dan pengintegrasian ICT dalam P&P. Projek-projek ICT dalam pendidikan tersebut ditunjukkan dalam Jadual 8.1.

Projek Rintis Sekolah Bestari telah dimulakan pada tahun 1999 dengan mencadangkan penyediaan persekitaran ICT yang dinamik, fleksibel, dan terkini bagi lima buah sekolah rendah dan 85 buah sekolah menengah. Sehingga tahun 2000, sebanyak 87 buah sekolah (4 buah sekolah rendah dan 83 buah sekolah menengah) telah dilengkapi dengan kemudahan ICT.

Penyelesaian Bersepadu Sekolah Bestari dalam projek rintis ini melibatkan komponen bahan P&P elektronik, pengkomputeran Sistem Pengurusan Sekolah Bestari, penggunaan perkakasan ICT, rangkaian setempat, dan Wide Area Network (WAN ). Dari segi penggunaan ICT sebagai pengupaya pedagogi dan pengurusan sekolah, tiga aras teknologi diperkenalkan dalam projek rintis, iaitu aras A (model bilik darjah), B+ (model bilik darjah terhad), dan B (model makmal komputer). Jadual 8.2 menunjukkan pengagihan perkakasan ICT bagi ketiga-tiga aras teknologi.


Akses dan Ekuiti kepada Kemudahan ICT
Akses kepada kemudahan ICT di sekolah rendah dan menengah masih rendah. Sehingga tahun 2000, perkakasan komputer hanya dibekalkan kepada 257 buah sekolah rendah dan 379 buah sekolah menengah (tidak termasuk Sekolah Bestari dan sekolah dalam Projek Pengkomputeran). Kebanyakan sekolah yang menerima bekalan komputer terletak di kawasan luar bandar serta mempunyai bekalan elektrik dan talian telefon. Kemudahan ICT juga akan diperluas ke sekolah rendah dan menengah pendidikan khas.

Pengetahuan dan Kemahiran ICT Serta Pengintegrasian ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Pelajar
Perakuan dalam Smart School Conceptual Blueprint menjadi panduan kepada pelaksanaan P&P bestari. Tumpuan diberikan kepada aplikasi ilmu dalam kehidupan sebenar, mereka cipta dan berinovasi, serta berinteraksi dengan pihak luar. P&P dalam bilik darjah perlu menterjemahkan konsep meaningful and thoughtful learning, dan 4S, iaitu self-paced, self-taught, self-access, dan self-directed.

Terdapat dua pendekatan P&P ICT iaitu belajar tentang ICT dan belajar dengan ICT. Pendekatan belajar tentang ICT bertujuan untuk menyediakan pengetahuan tentang asas ICT dan membolehkan pelajar menjadi penyumbang kepada pembangunan teknologi ICT. Manakala pendekatan belajar dengan ICT bertujuan menyediakan pelajar dengan ilmu yang membolehkan mereka menjadi pengguna yang berkesan. Kedua–dua pendekatan tersebut telah diserapkan melalui dua mata pelajaran iaitu Teknologi Maklumat dan Pengkomputeran.

Matlamat mata pelajaran Teknologi Maklumat pada peringkat SPM adalah bagi membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran seperti berikut: 
  • mengkaji, mengguna, dan memahami sistem dan persekitaran yang berkaitan dengan IT;
  • membina pengetahuan tentang prinsip dan proses IT; 
  • mengenal pasti serta meneroka keperluan dan peluang yang boleh ditangani melalui IT;
  • menjana idea bagi memajukan teknologi berkaitan dengan keperluan yang dikenal pasti;
  • mengguna IT dengan berkesan untuk berkomunikasi dan menyelesaikan masalah;
  • menyedari implikasi penggunaan IT terhadap masyarakat dan keperluan harian; dan
  • menghargai kepentingan dan sumbangan IT dalam memajukan masyarakat.
Objektif Sukatan Pelajaran Pengkomputeran dalam STPM adalah untuk membina kebolehan pelajar:
  • merumuskan penyelesaian masalah dengan menggunakan alat matematik (data dan proses) yang dapat diterapkan dalam komputer;
  • memahami prinsip dan teknik reka bentuk algorithma dan struktur data serta membina atur cara untuk menyelesaikan masalah dengan menggunakan komputer;
  • mengenal komponen dan seni bina logik sistem komputer berdigit;
  • menggunakan perisian komputer yang sesuai untuk menyelesaikan masalah; dan
  • memahami prinsip penggunaan teknologi maklumat dan kesannya dalam mengurus pembangunan ekonomi masyarakat majmuk.

Penubuhan universiti seperti Multimedia University serta pewujudan pelbagai fakulti baru dan program yang berteraskan ICT di universiti awam dan IPTS menunjukkan penekanan kepada pengetahuan dan kemahiran yang perlu ada pada lulusan bidang ICT. Pada akhir program, lulusan ICT secara keseluruhannya dapat memperoleh pengetahuan, memproses, dan menggunakan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah dan menjana pengetahuan baru.

Selain pengetahuan dan kemahiran ICT, KPM juga menyediakan pelajar untuk menghayati nilai yang sesuai dengan pembentukan k-insan. Pelajar perlulah memahami dan menghayati nilai moral, etika, budaya, dan agama dalam organisasi dan masyarakat, mempunyai falsafah dan prinsip hidup yang kukuh, mempunyai niat untuk membawa kebaikan kepada alam sejagat, dan mempunyai ketahanan rohani menempuh kepayahan dan cubaan. 

Latihan dalam ICT untuk Tenaga Pengajar
Pada awal tahun 1990-an, KPM melaksanakan program latihan praperkhidmatan dalam ICT kepada guru pelatih di maktab perguruan bagi Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM). Kandungan latihan praperkhidmatan dalam ICT yang wajib diambil oleh semua pelatih dalam mata pelajaran Teknologi Maklumat mengandungi elemen ICT seperti berikut:
  • pengenalan kepada kemahiran asas yang merangkumi pemprosesan perkataan, hamparan elektronik, persembahan elektronik, pangkalan data serta rangkaian komputer, dan internet;
  • teknologi maklumat dalam P&P;
  • pengajaran pembelajaran berbantu komputer;
  • multimedia dalam pendidikan; dan
  • kemahiran IT diaplikasikan dalam pedagogi mata pelajaran pengkhususan pertama dan kedua.

Program latihan praperkhidmatan dalam ICT bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) mendedahkan guru pelatih kepada ICT dan kaedah mengintegrasikan ICT dalam proses P&P. Elemen yang terkandung dalam mata pelajaran wajib Teknologi Maklumat termasuk:
  • pengenalan kepada kemahiran asas ICT;
  • pengintegrasian perisian aplikasi dalam P&P;
  • penghasilan bahan bantu mengajar menggunakan komputer; dan
  • kemahiran teknologi maklumat diaplikasikan dalam pedagogi mata pelajaran pengkhususan.

Di samping itu, Kursus Pengajian Teknologi Maklumat telah diperkenalkan kepada guru pelatih KPLI. Melalui program praperkhidmatan ini seramai 23 340 orang guru mendapat pengetahuan dan kemahiran asas menggunakan komputer. Elemen ICT yang diberi penekanan adalah:
  • reka bentuk asas komputer (basic computer architecture);
  • pengenalan kepada kemahiran asas ICT;
  • komunikasi dan internet;
  • strategi dan kaedah P&P berbantukan teknologi maklumat;
  • pengaturcaraan (programming);
  • alat pengarangan (authoring tools);
  • penggunaan dan pengurusan makmal serta aktiviti teknologi maklumat sekolah; dan
  • kesan sosioekonomi.

KPM juga melaksanakan program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) kepada guru terlatih dalam bidang ICT seperti Kursus Sijil Perguruan Khas Satu Tahun dalam Teknologi Maklumat, Kursus Dalam Perkhidmatan 14 Minggu dalam Pendidikan Komputer, dan Komputer dalam Pendidikan. Di samping itu, Kursus Kejurulatihan Komputer, Latihan Guru Sekolah Bestari, dan Asas Literasi Komputer juga dilaksanakan. Sehingga tahun 2000, hampir 60 000 orang guru terlatih telah mengikuti program latihan tersebut. 

Latihan dalam ICT untuk Personel KPM
Bagi tujuan pengurusan, Bahagian Sistem Maklumat (BSM) telah melatih personel KPM bagi meningkatkan kemahiran penggunaan komputer dan pengoperasian aplikasi ICT yang dibina untuk Jabatan dan Bahagian masing-masing. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) memberi latihan secara meluas kepada pegawai JPN, PPB, dan PPD serta guru data menggunakan komputer dan mengoperasi Sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan (SMPP). Bahagian ini juga melaksanakan program Training of Trainers untuk melatih pegawai JPN, PPB, dan PPD bagi membolehkan mereka melatih guru data di tempat masing-masing.

Institut Aminuddin Baki (IAB) menyediakan latihan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT kepada pentadbir dan kakitangan sokongan peringkat sekolah. Antara program latihan yang dijalankan pada masa ini adalah Kursus Literasi Maklumat  kepada Guru Besar, Pengetua, dan Penolong Kanan Sekolah Bestari; Pengurusan Komputer dalam Kursus Kepengetuaan; dan kursus pendek mengenai kemahiran ICT kepada kakitangan sokongan sekolah.

Program latihan kepada guru sekolah rendah dan menengah turut dijalankan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN)/ Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN), dan Pusat Kegiatan Guru (PKG). Pusat-pusat ini dibekalkan dengan kemudahan ICT di samping kemudahan teknologi pendidikan yang lain. Pegawai di pusat-pusat ini memberi khidmat nasihat kepada guru tentang pengintegrasian ICT dalam P&P. Selain itu, pegawai PSPN dan PKG memberi latihan jangka pendek kepada guru-guru sekolah rendah dan menengah berkaitan dengan kemahiran asas komputer, bengkel penyediaan perisian pendidikan, dan penilaian keberkesanan pengendalian pusat sumber sekolah. PSPN dan PKG juga menyediakan perkhidmatan pinjaman peralatan teknologi kepada guru. Oleh itu, PSPN dan PKG merupakan saluran yang berpotensi bagi membantu guru meningkatkan P&P berasaskan ICT di sekolah.

(Dipetik daripada: Pembangunan Pendidikan 2001-2010. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2001)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan