Sistem Pengurusan Pentaksiran Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Web

Gelombang ke-4 Pembestarian Sekolah

Pembestarian Sekolah

Mulai tahun 2011, Sekolah Bestari berganjak ke fasa implementasi Gelombang ke-4 Pembestarian Sekolah iaitu consolidate and stabilise (konsolidasi dan kelestarian). Unsur-unsur Sekolah Bestari telah tersedia di sekolah semasa Gelombang ke-3, iaitu pembestarian semua sekolah yang memanfaatkan inisiatif ICT KPM.




Konsep Sekolah Bestari

Berlandaskan konsep kreativiti dan pemikiran kritikal dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P), Sekolah Bestari ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan P&P dan pengurusan sekolah untuk menghadapi cabaran zaman maklumat. 

Objektif Sekolah Bestari berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk: 
  • Menghasilkan tenaga kerja yang berpemikiran dan celik teknologi, 
  • Mendemokrasikan pendidikan, 
  • Meningkatkan penyertaan pihak berkepentingan, 
  • Membangunkan intelek, jasmani, emosi dan rohani murid, dan 
  • Memberi peluang untuk peningkatan kekuatan dan keupayaan individu.
Perubahan sistemik sekolah ke arah pembestarian sekolah ini selain menumpu kepada penambahbaikan berterusan pelaksanaan dasar, pengurusan dan pentadbiran, serta P&P yang berpaksikan pembelajaran inkuiri dan kolaboratif, penilaian autentik berpusat murid juga tidak kurang pentingnya.

Matlamat Pembestarian Sekolah 
  • Meningkatkan kadar pembelajaran berpusatkan murid, 
  • Membangunkan modal insan yang berkemahiran ICT untuk memenuhi keperluan masa hadapan, dan 
  • Menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Pelan Strategik Pembestarian, 2011- 2015


Pembestarian Sekolah Sebagai Faktor Kejayaan Kritikal


Strategi Pelaksanaan untuk memacu pembestarian sekolah supaya berdaya maju, KPM memberi tumpuan kepada aspek berikut:
  • Peningkatan infrastruktur ICT yang sesuai untuk kegunaan semua sekolah,
  • Mewujudkan persekitaran pembelajaran yang membolehkan murid belajar di mana-mana dan pada bila-bila masa melalui penggunaan media komunikasi yang berbagai,
  • Menggalakkan sekolah mengintegrasi teknologi dalam pendidikan melalui program perkongsian pintar bersama industri, akademia, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan,
  • Memastikan teknologi dan pedagogi yang terkini disampaikan kepada pengguna, dan
  • Menyediakan khidmat nasihat kepakaran dan kemahiran kepada warga pendidik setempat melalui Pusat Bimbingan Profesional Teknologi Pendidikan


(dipetik daripada JIWA DAN MINDA BERSATU KE ARAH PEMBESTARIAN SEKOLAH, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (2010)