Sistem Pengurusan Pentaksiran Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Web

Isnin, 13 Jun 2011

Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Pada awal 2007, Menteri Pelajaran Malaysia dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah mengumumkan hasrat untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem pentaksiran di sekolah untuk menangani isu berkaitan dengan sistem pendidikan di Negara Malaysia yang terlalu menekankan kepada peperiksaan. LPM mula melakukan perubahan kepada sistem pentaksiran di sekolah-sekolah di bawah Transformasi Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan 2009 yang telah dirintis di 500 buah sekolah pada tahun 2009, dan mula dilaksanakan dalam sistem pendidikanmulai 2012 (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2009). Pentaksiran dan pelaporan merangkumikehendak Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Berasaskan Pusat (PBP) yangmana dua elemen yang akan bergerak seiringan dalam menilai seseorang murid di bawah transformasi berkenaan. Pihak kementerian mencadangkan 70 peratus markah untuk UjianPenilaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah berasaskan PBS dan hanya 30 peratus melalui PBP.Bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, 50 peratus berdasarkan PBS dan 50 peratus lagi dalam PBP manakala untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 30 peratus berdasarkan PBS sertabakinya melalui PBP (Khan, 2009). Sehubungan ini, pentaksiran berasaskan dianggap satu alternative kepada guru-guru dalam melaksanakan PBS yang memerlukan komitmen yangmenyeluruh dari guru-guru mata pelajaran.

PBS kini menjadi sebahagian daripada strategi pengajaran dan pembelajaran dan bukannya tugas tambahan. Pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran tidak boleh dipisahkan dan ianya tidak boleh dilihat atau diguna secara berasingan atau bersendirian. PBS adalah penilaian yang dilakukan di peringkat sekolah dan mengandungi kerja praktikal, tugasan bertulis, ujian, kajian dan lain-lain tugasan yang melibatkan pelbagai mata pelajaran. Tujuan utama pentaksiran adalah untuk membantu murid untuk membaiki atau meningkatkan pembelajaran mereka, untuk guru-guru membaiki pengajaran dan secara keseluruhan, menyumbang kepada pencapaian objektif pembelajaran. PBS mengandungi dua fungsi yang luas, iaitu (1) Pentaksiran tentang pembelajaran (pentaksiran sumatif) dan (2) Pentaksiran untuk pembelajaran (pentaksiran formatif). Menurut Stiggins (2002), kedua-dua jenis pentaksiran ini sama-sama memainkan peranan yang penting di sekolah.

Pentaksiran memainkan peranan yang penting dalam pendidikan, pentaksiran dilakukan dalam semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuanperancangan program pembaikan pendidikan. Dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, pentaksiran dilakukan bagi memastikan sama ada guru ‘mengajar’ dan pelajar ‘belajar’ (Myran, & Workman, 2002). Menurut Wiggins (1990) pentaksiran adalah proses mengenal pasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Pentaksiran menentukan jurang perbezaan antara ‘apa yang dihasilkan’ dengan ‘apa yang dihasratkan’ dari sesuatu program pendidikan. Jurang ini dapat diatasi dengan segera sekiranya satu sistem pentaksiran yang berasaskan web ini dapat direalisasikan. Pentaksiran merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan. Beberapa pakar seperti Wiggins (1990), Kellough & Kellough (1999) dan Martel & Calderon (2005) menyatakan pada asasnya pentaksiran merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pembelajaran.

Oleh itu menurut Morgan & Watson (2002) melalui pentaksiran pengajaran dan pembelajaran, para guru, pelajar dan ibu bapa, pentadbir dan perancangan pendidikan mempunyai asas yangkukuh bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dan keberkesanan pembelajaran pelajar. Malah, aktiviti pentaksiran menjadi sebati dengan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Tanpa pentaksiran, bidang pendidikan tidak mungkin berkembang sebagaimana perkembangannya pada hari ini.

Pentaksiran formatif merupakan satu proses yang mana penilaian dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat yang diperoleh dapat memberi maklumbalas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai. Oleh itu, guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang pelajar dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya (Holmes & Gardner, 2008).

Proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara timbal balas dan sepadu. Sambil mengajar, guru membuat pentaksiran secara tidak formal kerana guru tahu menilai sama ada pelajar telah menguasai apa yang diajar atau belum. Selain itu, berdasarkan pentaksiran, guru tahu sama ada pelajar perlu mengulang balik atau mengambil langkah untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi. Pentaksiran berasaskan sekolah juga menggalakkan hubungan dua hala melalui peluang yang diberi kepada pelajar untuk bertanya dan seterusnya mendapat bimbingan dan penjelasan lebih lanjut tentang prestasi yang ditunjukkan danbagaimana meningkatkannya. Hal ini kerana maklum balas daripada pentaksir dapat diberikan terus kepada pelajar dan dengan kadar yang segera.

Pentaksiran sekolah berfungsi bagi mendapatkan maklumat tentang pembelajaran murid untuk mengetahui apa yang murid tahu dan boleh buat. Melalui proses pentaksiran, guru dapat mengumpul maklumat yang sah dan boleh dipercayai tentang prestasi murid secara berterusan berdasarkan standard prestasi (performance standard). Maklumat yang diperolehi ini akan melaporkan tahap penguasaan murid dan dengan ini dapat membantu murid memperbaiki dan meningkatkan pembelajaran mereka. Selain menjadi motivasi kepada murid untuk belajar, guru juga dapat mengubahsuai strategi pengajarannya. Maklumat ini dapat dikelola, direkod, diterjemah dan dilaporkan dengan menggunakan pelbagai kaedah, alat dan teknik (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2009).



Justeru itu, pentaksiran perlu dilakukan dengan sempurna dan berkesan. Bukti-bukti emperik, iaitu bukti-bukti sahih tentang sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh menggunakan pengukuran, perlu dianalisis. Memandangkan pengukuran di bilik darjah sering menggunakan ujian, pengujian merupakan salah satu aspek utama dalam bidang teknologi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Jumaat, 10 Jun 2011

Pentaksiran Berasaskan Web

Pentaksiran berasaskan web merupakan satu istilah umum yang merangkumi penggunaan komputer dan Internet dalam proses pentaksiran. Istilah pentaksiran berasaskan web ini adalah meluas, merangkumi pelbagai kegiatan yang mana teknologi digital digunakan dalam semua kegiatan-kegiatan meliputi perancangan dan penghantaran pentaksiran, penandaan oleh komputer dan alat-alat atas talian, dan semua proses pelaporan, penyimpanan dan pemindahan data yang berkaitan dengan pentaksiran di peringkat sekolah. JISC/QCA (2007) mendefinisikan pentaksiran berasaskan web ini sebagai proses pentaksiran secara elektronik yang mana Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) telah digunakan untuk persembahan aktiviti pentaksiran dan mendapatkan maklum balas. Menurut mereka lagi, kaedah pentaksiran berasaskan web ini adalah berbeza dengan pentaksiran berasaskan komputer (CBA) yang merujuk kepada pentaksiran dilaksanakan dan ditandakan dengan komputer, dan pentaksiran berbantukan komputer (CAA) adalah merujuk kepada amalan yang bergantung kepada penggunaan komputer: contohnya, penggunaan atas talian bagi tujuan forum perbincangan, maklum balas kerja kumpulan, penyelesaian dan penyerahan tugasan secara elekronik, atau e-portfolio. Sehubungan ini sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan mencadangkan supaya penggunaan teknologi diperluaskan dalam sistem pentaksiran berasaskan sekolah (Marzita Abdullah, 2009).

Pentaksiran merupakan pusat kepada pengajaran dan pembelajaran. Ia mengukur sejauh mana keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran murid. Amalan pengurusan pentaksiran sesebuah sekolah itu mempengaruhi penglibatan murid dalam proses pembelajaran. Oleh itu sekolah harus mendapatkan strategi pentaksiran yang baik bagi memastikan semua pembelajaran murid dapat ditaksir dengan sebaik-baiknya. Pentaksiran berasaskan web ini berpotensi mengembangkan pemahaman murid terhadap pembelajaran guru dan merupakan satu kaedah latihan yang berkesan. Pentaksiran berasaskan web adalah cara terbaik bagi mengenalpasti keperluan murid dan dapat menanamkan keinginan untuk maju jika guru berupaya mengaitkan murid kepada sumber rujukan yang baik dan tepat serta memberikan maklum balas serta merta. Penggunaan teknologi yang mantap, dapat menyumbang kepada pentaksiran yang berkesan (JISC/QCA, 2007). Antara kebaikan penggunaan teknologi ini adalah penjimatan masa, memudahkan menanda dan penjimatan ruang penyimpanan. Dengan menggunakan komputer, guru akan mempunyai lebih masa untuk proses pengajaran dan pembelajaran (Fabilah Baharom dan Zaidatun Tahir, 2005).

Pentaksiran berasaskan web ini lebih bersifat peribadi. Murid boleh melaksanakan pentaksiran ini pada bila-bila masa di mana sahaja mengikut kesesuaian masa murid itu sendiri. Bull (1999) telah mendapati bahawa murid lebih menyukai pentaksiran menggunakan komputer kerana dapat memberi maklum balas serta membuat analisis statistik dengan cepat dan tepat berikutan dari penandaan secara automatik. Penggunaan teknologi maklumat dan pembelajaran berasaskan web dapat membantu ke arah pentaksiran pengajaran dan pembelajaran yang lebih cekap dan berkesan (Bennett, 2000). Menurut Vendlinski dan Stevens (2002) pula, teknologi menawarkan kaedah pengukuran baru bagi mentaksir pembelajaran yang berupaya memberikan maklum balas serta merta prestasi pencapaian murid.

My Presentation